Aug 29, 2009

MENGARAK KEPALA LEMBU- TINDAKAN PALING 'RACIST' SETAKAT INI

12:53 PM |



GUNA KEPALA LEMBU UNTUK PROTES

Semua pihak terkejut dengan tindakan paling racist oleh segelintir penduduk Shah Alam membawa kepala lembu yang baru dipenggal kerana membantah keputusan kerajaan negeri Selangor mengenai isue pembinaan kuil. Turut menjadi sasaran bantahan ialah parti PAS.

Sangat mengejutkan sebab tindakan berkenaan telah menyentuh sensitiviti rakyat negara ini yang beragama hindu. PM sendiri telah mengarah ketua polis negara menyiasat dan tentunya meminta tindakan yang tegas diambil supaya percikan 'kebencian perkauman' itu tidak merebak menjadi masalah besar. Rakyat negara ini sepatutnya tahu bagaiman hendak membantah secara profesional serta mengguna saluran yang betul untuk menyampaikan bantahan. Tidak wajar mereka mengambil tindakan berbentuk perkauman.

Tindakan paling racist itu adalah akibat dari cara media arus perdana memainkan isu dalam media masing-masing selama ini.

UMNO RESTUI SIAR ISU SENSITIF

Kalau kita menilai isu yang dibawa oleh TV3 dan Utusan Malaysia selepas PRU12 didapati banyak yang membakar semangat perkauman orang melayu. Pantang ada sedikit sahaja isu yang berkaitan agama dan bangsa melayu, kedua media itu akan mengolahnya menjadi berita berbentuk perkauman untuk menyerang PR. Pihak BN pula memberi 'blessing' kerana cara tersebut memberi 'millage' kepada mereka. PR digambarkan sebagai penghianat islam dan melayu kerana bersama di dalam PR ialah parti DAP yang selama ini dilabel sebagai anti islam dan melayu. Parti PKR pula dilapur ramai orang bukan melayu yang menguasai parti berbanding melayu. PAS pula dikata telah meninggalkan perjuangan islam semata-mata ingin kuasa.

Awal-awal lagi isu derhaka kepada raja dibangkitkan. Orang bukan melayu menjadi sasaran. Hampir-hampir sahaja berlaku perkara yang tidak diingini. Nasib baik orang umno terengganu menderhaka kepada sultan dengan memasang kain rentang yang mencerca raja mereka, menyebabkan orang melayu yang mulanya sanggup mati tiba-tiba tersentak dengan kelakuan orang melayu sendiri. Keadaan menjadi reda.

Selepas itu isu pemberian tanah oleh kerajaan perak kepada penduduk cina kg. baru disensasikan. Ir. Nizar, MB masa itu tituduh penghianat kepada bangsa melayu. Sekali lagi orang melayu dipanaskan dengan isu perkauman.

Kemudian Anwar Ibrahim dituduh penghianat bangsa oleh TPM diikuti dengan perhimpunan melaungkan kata-kata 'Anwar Penghianat Bangsa' oleh umno di Batu Pahat. Sekali lagi isu racist itu diberi liputan luas. Disebabkan Anwarlah melayu berpecah sekarang. Anwarlah yang bertanggung jawab kepada perpecahan melayu.

Isu arak di negeri selangor tidak tertinggal disensasikan. Sedikit sebanyak berjaya menghasut orang-orang islam di negeri ini. PAS dikata gagal berbuat sesuatu apabila exco bukan melayu mengarahkan arak yang dirampas di Shah Alam dikembalikan kepada penjualnya semula. Rakyat dihasut dengan gambaran media bahawa kerajaan PR yang memerintah Selangor tidak menghormati orang islam.

Turut dipanaskan ialah keputusan raja selangor menolak cadangan wang zakat diguna untuk pembangunan negeri selangor. Berita yang seperti itu pun disensasikan. Orang melayu-umno dilapur menjunjung kasih raja dengan keputusan bijak tuanku itu menyelamatkan wang zakat orang islam dari terlepas dan diguna oleh orang bukan melayu.

Tidak ketinggalan TG Nik A.Aziz diserang hebat kerana kenyataannya yang telah diputar belit. Isu syurga neraka disiar berturut-turut, menyebabkan ramai jugaorang melayu yang terpengaruh. Isu yang serupa dengan 'isu kafir mengkafir' dan 'amanat hj hadi' dahulu itu berjaya diolah. Dilapur TG N. Aziz berkata orang umno tidak akan masuk syurga sebab mereka sokong umno. Sekali lagi orang melayu berjaya dihasut. Isu yang dimainkan adalah racist dalaman melayu yang diharap menimbulkan kebencian orang melayu kepada PAS.

Itulah sebahagian isu perkauman yang dimainkan oleh media arus perdana. Ini adalah strategi supaya umno meraih sokongan semula terutama orang melayu. Arahan dari 'atas' perlu dilaksana untuk survival umno. Tanpa sokongan melayu, umno akan kalah dalam PRU13. Sokongan dari bukan melayu memang tidak ada harapan setakat ini.

NEGARA MUNDUR KEBELAKANG?

Strategi yang dipakai rupanya memerangkap umno-BN. Isu racism mendorong orang melayu mengambil langkah mengarak kepala lembu untuk menyatakan bantahan dipercayai usaha yang didalangi umno yang sudah terdesak. Tidak diketahui samada mereka sedar dengan akibat yang akan ditanggung oleh negara kerana kejahilan mereka. Rentetan peristiwa itu kalau gagal dikawal akan melebar dan menjadi punca peristiwa berdarah sekali lagi. Jauhkanlah... Dalam hal ini media arus perdana lah yang patut disalahkan. Isu berbentuk perkauman yang dimainkan selama ini menjadi punca kepada suburnya racism. Bukan sahaja orang melayu yang menjadi racist, orang bukan melayu akan jadi racist sama. Bibitnya telah pun kelihatan

Sudah 52 tahun merdeka tetapi kenapa masih sempit minda memainkan isu perkauman di dalam media? Negara lain yang dulu lebih mundur dibidang sosio-politk sudah maju kehadapan. Apakah negara sedang mundur kebelakang?

Sekian perspektif kali ini.

Aug 26, 2009

HUKUMAN SEBAT KEPADA KARTINI

1:26 PM |

LIPUTAN UTAMA MEDIA

Paparan perspektif kali ini mengenai hukuman sebat yang telah dijatuhkan kepada Kartini kerana kesalahan minum arak. Berita tersebut mendapat liputan yang luas dari dalam dan luar negeri. Masing-masing memberi ulasan. Kebanyakan tidak bersetuju dengan hukuman tersebut. Apatah lagi media luar negara yang memang pajudis dengan apa juga perkara yang dikait dengan undang-undang islam. Media luar negeri yang islam fobia itu mengulas dengan cara yang sangat negatif. Memang mereka begitu.

Penentangan itu sebenarnya menguji sejauh mana mahkamah syariah di negara ini sudah bersedia melaksa hukum islam dalam negara yang bukan negara islam.. hanya sekadar dakwaan sahaja bahawa negara islam kerana tujuan politik. Apa pun negara ini adalah negara umat islam. Cuma kelebihannya islam telah dijadikan sebagai ugama resmi negara berbanding ugama lain. Kelebihan lain, mahkamah syariah diberi hak mentadbir urusan orang islam dan tidak boleh dipertikai oleh mahkamah lain. Kalau dipertikai dianggap telah mengganggu dan akan menyebabkan kestabilan politik dan sosial negara ini terjejas. Semua pihak minta jauhkan perkara tersebut yang hanya menyusahkan semua pihak. Begitu sedikit mengenai islam dan mahkamah syariah di negara ini.

Apa yang berlaku sekarang ialah hukuman sebat kepada Kartini dipertikai oleh orang islam sendiri. Paling ketara menegur dari kalangan pemimpin negara. Disinilah dilemanya! KDN telah mengadakan mesyuarat dengan JAKIM untuk menagani perkara ini. Sudah tentu perbincangannya hangat dan menarik untuk diikuti. Namun tidak dinyatakan apakah keputusan mesyuarat tersebut. Adakah langkah kerajaan itu dianggap telah mencampuri urusan Lagislatif yang sepatutnya tidak berlaku didalam sebuah negara demokrasi.

Paling menonjol teguran mendakwa mahkamah syariah tidak adil. Diharap cendikiawan islam akan tampil memberikan pandangan dan menyatakan pendirian agar maruah mahkamah syariah tetap terpelihara. Mampukah mahkamah syariah membuat penghakiman yang adil di dalam negara sekular seperti Malaysia? Kartina didapati bersalah akibat persekitaran yang secara umum membenarkan minum arak. Adakah mahkamah syariah perlu terlebih dahulu membetulkan persekitaran itu. Kalau begitu bagaimana caranya?

ADIL ASAS PENTING PENGHAKIMAN

Adil menjadi asas penting dalam penghakiman islam. Allah mengutuskan rasul untuk memberi peringatan supaya manusia mengabdikan diri kepadaNya dan tidak kepada tuhan-tuhan palsu rekaan manusia. MenyekutukanNya juga dilarang. Kalau manusia tetap juga ingkar setelah utusanNya memberi peringatan, maka baru Allah membuat keputusan menghukum mereka dengan azab. Demikian dinyatakan di dalam Al-Quran.Manusia tidak dibiarkan terumbang ambing mencari nilai hidup sendiri. BegituAllah melaksanakan keadilan.

Perspektif kali ini tidak bermaksud menyalahkan keputusan mahkamah syariah negeri pahang. Yang bersalah tetap dihukum. Yang hendak dibangkitkan ialah kewajaran menjatuhkan hukuman sebat sedang persekitaran sekular sedia ada sangat kuat mendorong orang ramai minum arak. Bukankah undang-undang negara dahulu yang perlu dibetulkan?

Oleh itu Parlimen perlu membahas dan menggubal undang-undang bagaimana pengharaman arak boleh dikuatkuasa dengan tidak menafi hak bukan islam mengambilnya kalau agama mereka memang memberi kebenaran. Ini adalah cabaran yang perlu dipikul semua rakyat malaysia. Tidak kiralah usaha itu atas nama islam atau sebaliknya, matlamat utama ialah mewujud persekitaran negara yang bebas arak. Apa salahnya negara melaksana kempen TAK NAK ARAK seiring dengan kempen TAK NAK ROKOK dan ANTI DADAH sejak dari merdeka lagi 52 tahun lalu kerana arak tidak kurang juga membawa mudarat malah lebih banyak. Diharap usaha tersebut dibuat berpanjangan oleh berbagai agensi kerajaan, tidak sekadar bising-bising didalam media sahaja. Masih belum terlambat untuk mengorak langkah demi masa depan negara dan generasi akan datang.

NEGARA BEBAS ARAK


Membina negara yang bebas arak adalah hasrat rakyat negara ini tidak kira apa agama mereka. Mudarat arak sangat banyak dan telah diakui banyak pihak. Sebenarnya tidaklah susah untuk menolak sesuatu perkara yang terbukti tidak baik. Yang penting melaksana usaha dengan penuh berhemah.

Bertemu dilain perspektif

Ir.HKT

PERMATANG PASIR- KEKALAHAN MASA DEPAN BN

1:29 AM |

PERSPEKTIF SULONG

HKperspektif sulung kali ini berhasrat menyorot kekalahan BN dalam PRK Permatang Pasir. Walaupun blog ini diwujudkan untuk memberi perpektif yang lebih luas - bukan untuk perkembangan politik sahaja- namum perkembangan PRK P.Pasir mendapat perhatian awal kerana blog ini dibuka bersamaan masa kempen PRK tersebut oleh parti yang bertanding dan penyokong masing-masing termasuk media.

Yang paling menarik untuk diulas ialah peranan yang dimainkan oleh media arus perdana-TV3, Utusan, Berita Harian, Astro dan kuncu-kuncunya. Media tersebut menjadi agen propaganda utama kepada BN telah menyerang parti lawan dengan cara yang paling 'ganas'. Walaupun begitu BN tetap kalah di P.Pasir. Dengan liputan yang paling luas, PAS dicemuh dari setiap penjuru- bukan itu sahaja, malah kekuatan dana BN jauh lebih kukuh, namum pengundi tetap memberi kemenangan kepada PAS.

Serangan paling 'ganas' telah ditujukan kepada Tuan Guru Nik Aziz. Isu syurga dan neraka dimainkan oleh media yang cuba mengambarkan PAS sebagai parti ekstrim- cara lapuk untuk menakutkan orang melayu supaya tidak memilih PAS dalam PRK P.Pasir. Media memainkan isu tersebut sepanjang masa kempem sehingga menyeret pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan memberi pandangan secara terburu-buru tanpa terlebih dahulu meminta TG Nik Aziz memberi penjelasan menyebabkan kredibiliti majlis itu mula dipertikai oleh umat islam negara ini. Diharap majlis tersebut tidak akan mendapat imej sebagai 'kompeni UMNO' seperti yang telah diberi kepada SPRM, PDRM, SPR dan Peguam Negara!


HUJAH PALING MUDAH

Bayangkan pertandingan berlaku diatas pentas yang adil seperti di AS, negara model demokrasi dunia. Media perdana memberi ruang kepada kedua belah pihak, peruntukan juga diberi kepada parti lawan, debat terbuka oleh calun yang bertanding diatas pentas dan sebagainya. Tentu BN akan mengalami kekalahan yang lebih teruk. Dalam keadaan yang serba kurang, PAS dapat kemenangan dengan majoriti besar lebih 4500 undi. Inilah hujah yang paling senang difahami oleh semua lapisan rakyat yang BN akan kalah dimasa hadapan.

Tentu hujah mudah ini juga diyakini dalam hati kecil pemimpin komponen BN yang diterajui oleh UMNO. Sesungguhnya hati kecil tidak akan berbohong. Orang yang waras tidak akan menolak kata hati kerana orang-orang melayu terutamanya selalu diingat supaya bertanya dengan hati dalam banyak perkara kerana 'kata hati' biasanya betul. Pemimpin BN boleh memberi apa juga alasan dan sebab kekalahan mereka, tetapi jangan nafikan 'kata hati'. Kalau mereka hendak terus ego, maka kekalahan dan kejatuhan BN akan lebih cepat berlaku.

BN akan mewarisi kekalahan masa depan yang sudah dekat kerana pemimpin mereka masih tidak mahu berubah. Pak Lah yang dikata sebab kekalahan teruk dalam PRU 12 yang lalu telah mengundurkan diri secara paksa. Namun BN terus mewarisi kekalahan. Mereka masih tidak sedar bahawa punca kekalahan ialah GAYA pemerintahan yang dilaksana sejak 52 tahun BN memerintah, bukannya siapa yang menjadi PM atau presiden parti. Rakyat pelbagai kaum dan lapisan sudah tidak boleh menerima lagi apa yang BN laksanakan. Antaranya isu ISA, ketuanan melayu (perkauman!), rasuah dalam pentadbiran & politik wang, salah guna kuasa, skandal, kronism' nepotism, bahasa kebangsaan dan sebagainya.

RAKYAT SUDAH CELIK

Rakyat sudah celik dan mereka benar-benar celik politik. Media arus perdana tidak mungkin dapat merubah perspektif mereka kerana pada mereka media arus perdana adalah agen membuat propaganda untuk kepentingan BN sahaja. Mereka ada sumber maklumat lain yang lebih baik. Orang tua dikampung yang tidak belajar tinggi pun sudah boleh membuka internet! Apatah lagi generasi muda... Jangan rendahkan keupayaan mereka menapis berita yang disaji oleh media arus perdana. Perkara ini masih tidak disedari oleh barisan pengarang media tersebut.. Kenapalah mereka masih buta lagi memahami realiti..

.... Setakat ini perspektif buat kali ini. Insya'Allah akan bersambung akan datang secepat mungkin untuk melebarkan lagi tajuk perspektif sulong yang dipaparkan

redaksi
HKperspektif
25/8/09